Pertama:
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya". (Surah Al-An‘aam:6)
Ungkapan …pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina…mengandung makna azab ketika akan mati atau azab di dalam alam Barzakh. Ini kerana seandainya yang dimaksudkan dengan azab pada ayat di atas adalah selepas Hari Kiamat maka sudah tentu ia tidak disebut sebagai …pada hari ini kamu dibalas.
Kedua:
Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” (Surah Al-Mukmin:40)
Allah SWT memperlihatkan (mendedahkan) azab kepada Firaun dan pengikutnya pagi dan petang lalu kemudian menyiksa mereka dengan azab yang keras setelah kiamat. Ini bermakna azab sebelum kiamat itu adalah azab kubur dan bukan azab di akhirat (neraka) mahupun di dunia. Ini kerana:
i) Azab tersebut berlaku sebelum kiamat
ii) Di alam akhirat tidak ada pagi dan petang
iii) Azab tidak diperlihatkan kepada Fir’aun di dunia
Ketiga:
Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan, kemudian dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan). Surah Nuh :71)
Ayat ini menyatakan azab yang ditimpakan ke atas orang-orang dari umat Nabi Nuh a.s.Setelah mereka ditenggelamkan kerana kesalahan-kesalahan mereka lalu Allah sambung dengan kemudian dimasukkan ke dalam neraka. Maksud neraka di sini ialah azab di alam Barzakh dan bukan di alam setelah Kiamat.
Atas dasar kaedah ini maka maksud ayat di atas adalah, umat Nuh yang derhaka itu dimasukkan terus ke dalam neraka setelah mereka ditenggelamkan tanpa menunggu lama. Demikianlah menurut zahir ayat. Ia tidak bermaksud azab api neraka setelah Hari Kiamat kerana azab tersebut masih lama setelah kejadian taufan Nabi Nuh a.s.
Keempat:
Bermegah-megahan telah melalaikan kamu , sampai kamu masuk ke dalam kubur. (Surah Al-Takaathur :102)
Diriwayatkan bahawa 'Ali radhiallahu 'anh berkata: Kami masih meragukan akan adanya azab kubur sehingga turunlah ayat ini. (Riwayat Al-Tirmizi)
Kelima:
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. (Surah Thaha : 20)
Imam Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat di atas mengemukakan sebuah hadis daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW berkata tentang firman Allah: maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, maksudnya adalah azab kubur. Berkata Imam Ibn Katsir setelah itu: “Isnadnya baik.”


Tiada ulasan:
Catat Ulasan