Katakanlah:

Katakanlah:"Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan ilmu (hujah yang nyata), Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik". Yusuf [12]:108

Jumaat, 5 Ogos 2011

Hasan berjiwa pendidik

                                 Hasan walaupun bertubuh kecil tetapi jiwanya sarat dengan jiwa mendidik

Sahabat itu perlu dikasihi kerana pertemuan dengannya satu anugerah dan rahmat daripada Allah untuk saling melengkapi.

Rasanya sudah lama tidak mencoretkan sesuatu di blog kelas ini. Sudah berbulan-bulan juga blog ini sepi dengan penulisan daripada 'teman seperjuangan'. Hari ini saya teringin sekali bercerita tentang sahabat saya, Hasan.

Hasan merupakan satu daripada 11 orang sahabat saya di dalam kelas PPISMP 3.01. Tubuhnya kecil seakan-akan Shafiq Rahim. Hasan tinggal di Sabak Bernam, antara majoriti tempat sahabat sekelas saya menetap.

 Hasan juga berkuturunan jawa, maklum sahajalah, apabila disebut negeri Selangor dan Johor, kedua-dua negeri ini amat berkait rapat dengan keturunan Bugis. Lebih-lebih lagi Sabak Bernam, antara tempat terkenal masyarakat jawa.

Masuk semester ini, sudah setahun setengah saya bersahabat dengan Hasan. Hasan terlalu peramah orangnya,   malah, hasan juga tidak pernah lekang daripada selalu senyuman.  Setiap kali ada sahaja aktiviti di Maktab, Hasan antara orang yang 'terkehadapan' dan berani mencuba sesuatu perkara yang baru.

Apabila disuruh sahaja melakukan sesuatu, pasti Hasan akan menjawab 'ya'. Jarang sekali kedengaran perkataan 'tidak' yang keluar daripada mulutnya. Jika di kelas, Hasan antara sahabat saya yang berani mencuba.

Saya masih teringat lagi, walaupun Hasan diajukan soalan dalam bahasa Inggeris ketika pelajaran ELP (English Language Profiency), dia sanggup menjawab soalan tersebut walaupun salah dan memalukan dirinya di hadapan kawan-kawan yang lain, tetapi beliau berani mencuba walaupun silap. Ya, itu antara salah satu ciri-ciri orang yang berjaya 'mendidik' diri mereka untuk 'kehadapan'.

Bukan mudah untuk membentuk keyakinan diri. Kadang kala saya suka mencabar diri saya agar 'bersaing' secara sihat dengan Hasan memandangkan beliau berani mencuba sesuatu perkara. Ya, saya banyak belajar erti 'keyakinan' yang sebenar daripadanya.

Dalam diri Hasan juga terdapat nilai kasih sayang yang mampu mengeratkan ukhwah antara kami. Di kelas juga, saya duduk bersebelahan dengannya, ketika saya sakit dahulu dan sesak nafas secara mengejut, Hasan antara sahabat yang banyak membantu saya, Hasan yang menelefon ustaz, memanggil ustaz Razak untuk merawati saya.

Ya, sungguh indah persahabatan ini jika antara kita saling menyayangi dan memahami antara satu sama lain. Hasan juga sanggup 'berhabisan' duit demi 'islam tercinta'. Hasan pernah mengajak saya berkongsi duit untuk membeli buku berjilid imam ghazali dalam versi melayu tetapi atas faktor kewangan menyebabkan saya menolak dengan baik permintaan Hasan.

Mengejutnya, Hasan sanggup membeli buku itu walaupun harganya mencecah RM 300 ke atas. Hasan secara tidak langsung mendidik saya 'erti pengorbanan' dalam kehidupan. Setiap apa yang dilakukan untuk islam perlu dikorbankan kerana maharnya menati di akhirat kelak.

Walaupun kadang-kala saya berbeza pendapat dengan Hasan, itu tidak membuatkan hubungan persahabatan kami goyah dan bermusuhan akan tetapi apabila kami berselisih pendapat, kami kelihatan semakin rapat dan bersama-sama menghormati pendapat masing-masing.

Itulah yang di ajar ulama terdahulu, apabila berselisih pendapat, mereka tidak pernah berbalah dan saling menuduh akan tetapi mereka saling menghormati.

Keyakinan mencuba yang wujud pada dirinya membuatkan Hasan juga kadang-kala tidak segan silu untuk berkongsi masalah dan meminta nasihat daripada sahabat-sahabat yang lain. Saya akui, bukan mudah untuk berkongsi masalah dengan sahabat sekeliling akan tetapi kerana 'keyakinan diri' yang wujud pada diri Hasan membuatkan Hasan mudah untuk berkongsi perasaan dan menceritakan masalah yang dialaminya.

Bagi saya, Hasan mampu menjadi orang yang kehadapan suatu hari nanti. Pada dirinya terdapat semangat yang kuat demi melihat islam itu ditegakkan di muka bumi ini. Setiap hari perbicaraannya tidak lekang untuk islam dan saya berharap agar Hasan selalu dirahmati Allah s.w.t...

Terima kasih Hasan..dalam diam dirimu berjaya mendidik diriku... :-)
Semoga persahabatan ini kekal ke alam syurga..insyaallah..