Cerpen: “Kau pengibar semangatku”
Kelihatan seorang lelaki di bilik Kuliah sedang sibuk dengan tugasannya, dia merupakan salah seorang wakil Jabatan Pelajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi. Namanya sungguh sepadan dengan akhlaknya, bahkan, dia merupakan Perwakilan pelajar untuk Biro Dakwah dan kerohanian. Kerjanya sebagai biro Dakwah bukan mudah, akan ada sahaja kedengaran ‘suara-suara nakal’ daripada pelajar yang tidak menyukainya.
“Fiq, kau buat apa tu?”. Izzul merapati Shafiq Yasin.
“Aku tengah siapkan tugasan untuk Kursus Kahwin nanti, semua kertas kerja aku dah settlekan tinggal nak minta kebenaran daripada Pengarah je ni.” Shafiq kelihatan sibuk dengan kertas kerjanya yang berselerakan di atas meja.
“Ooo..aku tengok kerja kau ni mengalahkan YDP, sibuk semacam je sejak akhir-akhir ni.” Izzul membelek-belek kertas kerja yang dibuat Shafiq, ternyata kertas kerja itu cukup berkualiti dan baik.
“Biasa la Zul, nak jadi seorang pemimpin ni bukan mudah, nanti Allah akan persoalkan satu persatu hasil kerja aku sebagai pemimpin pelajar ni. Aku takut Zul, aku tak mampu buat yang terbaik untuk pelajar-pelajar ni. Aku takut sangat.” Syafiq meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya.
“Fiq, kau kena kuat, Allah pilih kau jadi pemimpin kerana kau ada kualiti, kau ada bakat memimpin dan yang penting kau ada ilmu. Itu ciri-ciri paling penting untuk memimpin manusia ke jalan yang diredoi Allah, lihat sahaja ulama-ulama terdahulu, mereka cukup takut untuk menjadi pemimpin kerana ketakwaan kepada Allah yang cukup tinggi tapi aku yakin, kau mampu melakukan tugasan yang baik.” Izzul menenangkan seketika sahabatnya itu, Izzul tahu, tugas untuk menjadi pemimpin bukan mudah, perlukan kekuatan spiritual dan fizikal yang baik bagi mendepani cabaran semasa.
“Terima kasih Zul. Kau jangan lupa doakan aku ye, biar aku istikomah di jalannya. Kalau aku jatuh, kau jangan lupa nasihatkan aku, aku pun manusia biasa, bila-bila masa aku boleh rebah. Kau sahabat aku, kau pimpinlah aku jika aku tersilap bicara, jangan kau biarkan aku terjatuh ke lubang neraka.” Suara Shafiq menjadi sayu, dia benar-benar menghargai Izzul sebagai sahabatnya, bahkan dia juga berharap agar Izzul sentiasa bersamanya ketika senang dan susah.
“InsyaAllah, mari kita bersama-sama berdoa kepada Allah agar dikekalkan di jalan-Nya, Uhibbukafillah fiq..” Tenang sahaja bicara Izzul.
“InsyaAllah, Uhibbukafillah aidon..” Shafiq tersenyum melihat wajah Izzul.
Hari berganti hari, setiap hari Shafiq terpaksa menyiapkan setiap tugasan yang diberikan mengejut oleh pensyarah-pensyarah dan juag YDP Institut Pendidian Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi. Ada tugasan untuk KARAK iaitu Karnival Keusahawanan yang dianjurkan oleh Biro Ekonomi, ada juga untuk minggu penghayatan Islam dan pelbagai lagi tugasan yang datang mengejut. Sudahlah Kerja Kursus makin bertambah, ditambah lagi dengan tekanan daripada pelajar-pelajar yang sejak akhir-akhir ini mengkritik Kepimpinan Dakwah dengan lantang melalui surat layang mahupun kritikan pedas melalui alam maya termasuk teknologi masa kini yang digemari remaja iaitu FACEBOOK. Biro dakwah dicaci, dihina, dikritik gara-gara tidak berjaya menangani isu-isu semasa di dalam Maktab.
“Assalamualaikum semua, apa khabar, bagaiman iman antum dan antunna semua?” Shafiq memulakan sesi mesyuarat tergempar di bilik Biro Dakwah bersama-sama ahlinya. Ketika itu, Jabatan perwakilan pelajar yang lain turut melakukan mesyuarat mengejut bagi memulihkan semula nama Jabatan Perwakilan Pelajar yang kian ‘tercalar’ dari hari ke hari.
“Khabar baik, Alhamdulillah.” Kesemua ahli biro dakwah kelihatan muram ketika memberi salam, mereka ditekan oleh pelajar-pelajar lain kerana kegagalan mereka dalam memimpin isu-isu semasa di maktab terutamanya isu ‘couple’ dan ikhtilat yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Bahkan, lebih serius, nama Institut ini sudah tercemar sehingga masuk ke dalam-dalam akhbar tempatan.
Pada saat itu, Shafiq tidak mudah beremosi, bahkan dia tenang dalam menghadapi dugaan dan ujian tersebut. Baginya sudah menjadi lumrah apabila menjadi seorang pemimpin, akan ada sahaja pro dan kontra, ada sahaja kawan dan lawan. Lihat sahaja peribadi rasulullah yang mulia, semulia mana pun baginda, akan ada sahaja orang yang menentang baginda.
“Ana nak ingatkan antum semua supaya tabah menghadapi dugaan ini, ingatlah penderitaan nabi-nabi dan pengikutnya waktu dahulu, mereka tetap teguh dengan iman walaupun rintangan datang melanda, mereka tetap teguh berpegang pada sunnah. Lihat sahaja nabi Muhammad, baginda ditentang begitu hebat, bahkan ada sahaja manusia yang tidak berhati perut cuba untuk membunuh baginda, lihat pula ujian yang datang untuk nabi Musa, Allah kurniakan baginda dengan ‘firaun’ tapi beliau tidak mudah berputus asa untuk istikomah berdakwah walaupun Firaun itu makhluk paling keras dan melakukan kesyirikan yang besar terhadap Allah.” Jelas dan mapan prinsip Shafiq. Beliau menasihati ahli-ahlinya supaya tidak mudah berputus asa dalam mengajak manusia ke jalan Allah.
Hari berlalu dengan pantas, telah banyak usaha dilakukan Biro Dakwah untuk mengembalikan semula keyakinan pelajar-pelajar terhadap Jabatan Biro Dakwah. Ceramah tentang couple, diskusi bersama pelajar-pelajar, sebaran pamplet, tayangan video dan pelbagai lagi usaha yang dilakukan mereka untuk mengembalikan keyakinan pelajar terhadap Biro Dakwah.
“Fiq, kau tahu tak ni?” Adwa berlari-lari ke arah Shafiq kelihatan ada sesuatu yang perkara penting yang ingin disampaikannya.
“Kenapa ni Wa, macam ada perkara serius je?” Shafiq seakan ingin tahu perkara yang ingin disampaikan Adwa, rakan sebiliknya itu.
“Aku nampak…aku nampak….”. Adwa seakan teragak-agak untuk menyebut perkataan seterusnya.
“Kau nampak apa Wa?” Shafiq terpinga-pinga.
“Aku nampak gambar kau dengan perempuan berpegang tangan dengan perempuan dalam Facebook.” Adwa terpaksa juga menyebutnya.
“Astagfirullahalazim, Innalillahiwainnailaihirajiun…” wajah Shafiq berubah seketika, air wajahnya yang ceria bertukar merah padam, dia tidak tahu bagaimana lagi untuk berkata-kata, dia terdiam membisu, dugaan yang berat datang lagi kepadanya, sudahlah diuji dengan ujian cemuhan pelajar, kini dia diuji dengan fitnah!
“Kat mana kau nampak semua ni?” Shafiq inginkan kepastian.
“Tadi aku buka Facebook, aku tengok gambar kau dah tersebar dekat page Biro Dakwah.” Adwa memberikan maklumat untuk mengukuhkan buktinya.
“Nauzubillah..” Shafiq beredar daripada situ, dia tidak mahu berfikir lama dan dia terus pulang ke bilik.
Dunia Shafiq benar-benar berubah, dia kini ibarat mayat hidup, terperangkap dalam kubur majusi. Rakan-rakannya seakan-akan ‘termakan’ dengan ungkapan fitnah daripada si penyebar gambar yang tidak bertamadun itu. Tidak ada sesiapa yang ingin berbicara dengannya. Malah, ahli-ahli dalam Biro Dakwah sudah tidak mempercayainya lagi. Dia bergelut antara realiti dan fantasi, seolah-olah mimpi ‘ngeri’ buatnya.
“tuk tuk tuk…” Pintu bilik Shafiq diketuk seseorang.
“Masuklah…” Shafiq mempersilakan.
“Ooo..Izzul, marilah duduk sini.” Syafiq menjemput Izzul untuk masuk.
“Kau okey?” Izzul merapati Shafiq.
“Entahla, aku serabut, aku pening, buat apa kau datang tengok aku?” Shafiq berubah bicara, kata-katanya bertukar nada keras.
“Kau ingat tak janji kita dulu?” Izzul merenung wajah Shafiq.
“Janji apa ha?” Nada suara Shafiq berubah.
“Aku akan sentiasa bersama kau saat susah dan senang.” Ringkas sahaja jawapan Izzul.
“Kenapa kau tak pulaukan aku macam kawan-kawan lain?” Shafiq tidak berpuas hati.
“Sebab kau sahabat aku, aku takkan tinggalkan kau sendirian.” Izzul memegang tangan Shafiq.
“Zul, aku tak kuat, aku lemah, aku jahat, aku tak sabar dengan ujian.” Kelihatan air mata Shafiq mula mengalir di pipinya.
“Bukankah kau pernah berjanji pada aku dulu?” Izzul membuka ruang waktu ‘silam’ untuk dikenang semula.
“Apa yang aku janji pada kau?” Shafiq tidak bermaya.
“Kau berjanji pada aku untuk tidak meninggalkan kau sendirian..” Izzul tersenyum.
“Kau ingatkah kisah nabi Musa dan Harun?” Izzul mengimbas kisah terdahulu.
“Tak..” Shafiq menggelengkan kepalanya tanda tidak mengetahui.
“Nabi Musa pernah berdoa kepada Allah supaya dijadikan Harun sebagai sahabat seperjuangannya.” Izzul menceritakan serba sedikit kisah ukhwah antara nabi Musa dan Harun.
“Dan aku bersyukur, kerana dikurniakan sahabat seperti kau.” Izzul menambah.
“Kenapa pula..?” Shafiq tidak mengerti.
“Kerana kau telah rela menjadi sahabat aku sewaktu aku susah dahulu, kau juga banya mengajar aku erti kesabaran sewaktu aku diuji dengan ujian yang hebat dulu, mungkin kau lupa semua ini tapi aku tak pernah lupa saat kau membantu aku dengan menghulurkan wang ribuan ringgit semata-mata mahu membayar rawatan ibu aku yang sakit ketika itu.” Air mata Izzul mengalir deras, dia bersyukur dikurniakan sahabat sebaik Shafiq, dia mahu menjadi orang yang bersyukur.
Shafiq juga turut bersedih, dia tahu Izzul amat mementingkan sahabat.
“Mulai hari ini, kau perlu kuat Fiq, kau tak boleh terus-terusan bersedih macam ni, kau kena minta pertolongan Allah, aku akan bantu kau semampu mungkin, jangan mudah berputus asa.” Izzul kembali mengibarkan bendera semangat buat sahabatnya itu.
“Terima kasih Zul kerana sudi memberikan semangat untuk aku, aku cuba sedaya mungkin, aku tahu kesemua ini fitnah. Kau percayakan aku?” Shafiq ingin menguji sahabatnya itu sejauh mana kesetiaannya dalam persahabatan.
“Sudah semestinya aku percaya pada kau, dan kau jangan risau, aku dah suruh Hud selesaikan masalah ini tadi, dia dah buktikan bahawa gambar itu ‘diedit’ untuk memfitnah kau, dan aku dah atur beberapa orang untuk mengulas isu ini secara detail sama ada dalam ceramah, perhimpunan dan sebagainya. Paling penting kau jangan risau ye..”Izzul menenangkan sahabatnya itu.
“Betul ke ni? Ya Allah…” Shafiq memeluk sahabatnya itu.
“Betul..” Izzul tersenyum.
Gerakan memulihkan nama Shafiq berjalan dengan lancar, ramai pelajar yang sudah mula membuka mata dengan jelas bahawa mereka ‘tersilap langkah’ dalam menyalahkan Shafiq, mereka tahu Shafiq telah banyak berjasa kepada mereka. Komen-komen positif di Facebook juga telah banyak melegakan Shafiq. Bahkan dengan ujian yang berat ini telah banyak memulihkan nama Biro Dakwah secara khusunya kerana telah berjaya meletakkan keyakinan semula kepada pimpinan mereka.
Apa yang jelas kelihatan, ukhwah itu telah banyak membuatkan Shafiq kembali bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja dakwahnya walaupun banyak rintangan melanda. Penyerahan kepada Allah secara ‘total’ juga menyebabkan Shafiq semakin kuat. Dia tidak mudah untuk bergantung pada manusia kerana Allah diletakkan no.1 di hatinya. Apa yang berharga buat dirinya, kerana ujian ini dia dikurniakan kemanisan iman dan Allah hadiahkan sahabat yang baik kepadanya seperti Izzul.
-TAMAT-

