“Man oh Man”. Kedengaran suara pak cik Lutfi sedang memanggil anaknya itu.
“Saya ayah”. Man bersuara lembut.
“Abah nak keluar dah ni, abah nak tengok rumah ni bersih sebelum pukul 5 nanti, faham?”. Pak cik Lutfi bernada kasar kepada anaknya itu.
“Baik yah”. Man menjawab soalan ayahnya dengan baik tanpa ada perasaan dendam kepada ayahnya itu.
Petang itu, Man melakukan tugasannya kerja rumah yang telah diberikan gurunya sewaktu di sekolah. Dia terlena kerana kepenatan.
Masa terus berlalu sehinggakan Man terlupa ada tugasan daripada ayahnya.
“Ya Allah, dah pukul berapa ni?”. Man melihat jam ditangannya.
“MasyaAllah, dah pukul 5 petang”. Man kalang kabut membersihkan dirinya.
Dia cepat-cepat berlari ke bilik air, sambil membersihkan dirinya, berwuduk dan terus menunaikan solat fardu Asar.
Ketika Man solat, ayahnya pulang dalam keadaan terkejut bercampur marah.
“Kurang asam punya anak, aku bagi kau kerja macam ni kau buat”. Pak cik Lutfi terus berlari ke arah anaknya lalu disepak anaknya yang sedang solat itu.
“Yah sakit Yah, Man mintak maaf, Man terlena tadi”. Man merayu-rayu meminta belas kasihan daripada ayahnya itu.
Man yang sedang solat terpelanting setelah disepak dengan kuat oleh ayahnya itu.
“Kau anak tak guna, aku bagi kerja kau tak buat, celaka!”. Marah Pak cik Lutfi membuak-buak.
Pak cik Lutfi mengambil rotan di atas meja di ruang tamu lalu disebatnya anak yang tidak berdosa itu dengan sekejamnya.
“Yah, tolong Yah, Man janji tak buat lagi”. Man meraung-raung kerana merasai kesakitan yang teramat sangat.
**************************************************************************************************
Kehidupan Man bagai dalam Neraka Jahanam, habis badannya bengkak-bengkak dipukul ayahnya, bagi Man, dia sudah biasa dengan keadaan sebegini. Kerap kali juga ayahnya memukulnya tanpa ada rasa belas kasihan. Dia dijadikan mangsa amarah ayahnya itu.
Pagi itu, Man pergi ke sekolah seperti biasa, berjalan kaki lebih kurang 10km ke sekolah sudah menjadi kebiasaan buat Man, dia tidak pernah menampakkan tanda-tanda mengeluh meskipun dirinya diuji sehebat begitu, baginya dia lebih suka menjadikan diri nabi Muhammad sebagai contoh ikutan yang baik dan menjadi idola buat dirinya.
Dia tahu, masih ramai antara sahabatnya tidak pernah sesekali mengenali idola kebanggaan umat islam, Muhammad. Dia juga mengetahui bahawa rakan-rakannya tidak pernah menjadikan Nabi sebagai idola dan ikutan, yang ada cuma pemain bola sepak yang mereka agung-agungkan itu sehingga rambut dan segala jenis perbuatan mahu ditiru bulat-bulat idola kesayangan mereka itu.
“Man, apa yang kau termenungkan tu?”. Erul melihat sahabatnya itu.
“Eh, tak ada apa-apa la”. Man menutup buku di atas meja tersebut.
“Kau baca buku apa tu Man”?. Erul mengambil buku yang ditutup Man tadi sambil menyelak satu persatu helaian muka surat itu.
“Ni ha, buku Muhammad sebagai ikutan”. Man mempromosi buku tersebut kepada Erul.
“Wah, macam menarik je!”. Erul tertarik dengan buku tersebut.
“Boleh aku pinjam?” Erul segan silu bercakap dengan Man.
“Eh, apa yang tak bolehnya, dipersilakan.” Man menghulurkan buku tersebut kepada Erul.
“Man, kau la sahabat aku dunia akhirat, terima kasih banyak-banyak”. Erul terlalu gembira sehingga tidak perasan dia terpeluk Man.
“Kau ni kelakarlah Rul”’. Man bergurau dengan Erul.
Cikgu Aisyah telah masuk ke kelas dan memulakan pengajarannya. Man dan Erul tekun dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, bagi Man, dia terlalu gembira dalam menimba ilmu kerana malaikat mengembangkan sayapnya ketika seseorang menutup ilmu, dia juga seorang yang sangat cintakan ilmu, walaupun ketiadaan duit, dia sanggup mencari kertas-kertas yang telah dibuang dalam tong sampah semata-mata mahu menulis ilmu di atas kertasnya itu.
************************************************************************************************
“Man oh Man”. Pak cik Lutfi memanggil anaknya itu.
“Ya yah”. Man menjawab pertanyaan ayahnya itu.
“Mari sini tolong ayah angkat barang ni”. Pak cik Lutfi membawa seguni botol.
“Botol apa tu yah”. Man cuba membuka tali karung guni tersebut.
“Jangan sesekali kau buka karung guni ni. Faham?”. Suara kasar Pak cik Lutfi menyebabkan Man ketakutan, lalu Man tanpa berlengah membantu ayahnya mengangkat guni tersebut.
“Man, malam ni, kau jangan keluar bilik. Faham?”. Pak cik Lutfi langsung tidak berlembut dengan anaknya itu seolah-olah Man seperti anak tirinya.
“Baik yah”. Man menuruti arahan ayahnya itu.
Malam itu Man tertidur awal selepas menunaikan solat fardu isyak. Man sudah meniatkan dalam dirinya supaya dia dapat bangun awal pagi untuk melakukan qiamulail, Jam loceng yang berada di atas meja itu hasil duitnya sendiri sudah berulang kali mengejutkan Man dan dia tidak pernah sesekali tidak pernah bangun apabila jam locengnya berbunyi. Man terlena dibuai mimpi.
Kringg….kringg…..kringgg... Jam loceng Man berbunyi.
Man bangun dari tidur lalu dilihatnya jam loceng di atas meja menunjukkan pukul 2 pagi. Apabila Man keluar dari bilik, dia terkejut kerana melihat ayahnya dan dua orang rakannya berada dalam keadaan mabuk sambil memegang botol arak di tangan mereka.
“Astagfirullahalazim”. Man terkejut beruk melihat ayahnya sendiri melakukan perbuatan terkutuk itu.
Selama ini Man berfikir karung guni itu botol mineral biasa rupa-rupanya botol arak.
“Ya Allah, ampunilah dosa ayahku”. Perkataan itu terkeluar sendiri daripada mulut Man.
Mengalir air mata Man melihatkan situasi ayahnya yang melakukan perbuatan haram itu, namun siapalah dirinya untuk menegur ayahnya itu, air mata Man mengalir deras lalu dia pantas berlari ke arah bilik air dan terus mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat.
“Ya Allah,ampunilah dosa ayahku, Ya Allah, kasihanilah dia, Ya Allah, berikanlah dia petunjuk agar ayahku tidak berada daam kesesatan, tunjukkanlah dia ke jalan yang lurus, aku sayangkan dia Ya Allah..”
Suara serak Man kedengaran apabila dia mengangkat tangan berdoa kepada Yang Esa dalam keadaan sayu dan air matanya tidak henti berlinangan.
Walaupun usia Man masih lagi kanak-kanak, tetapi pemikirannya sudah mencapai tahap kematangan kerana ilmu yang dia miliki, dia bukanlah seorang kanak-kanak yang biasa, tetapi dia memiliki tahap pemikiran yang luar biasa.
****************************************************************************************************


Tiada ulasan:
Catat Ulasan